Gangguan bekalan air di Shah Alam, Sepang dan KL

28/07/2009 9:18pm (Dipetik daripada Utusan Online)

KUALA LUMPUR 28 Julai – Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam, Sepang dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air pada 3, 5 dan 10 Ogos depan berikutan cadangan kerja-kerja pemasangan “Water Balance Meter” oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Gangguan bekalan air itu pada 3 Ogos ini dari pukul 6 petang hingga 5 pagi keesokan harinya membabitkan kawasan Wilayah Klang di Shah Alam dan antara kawasan itu ialah Seksyen 2, Seksyen 3, Seksyen 12 dan kawasan Kelab Golf Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (KGSSAS), menurut kenyataan Syabas hari ini.

Kawasan-kawasan lain di Shah Alam yang terlibat adalah Seksyen 11, Kelab Shah Alam, Seksyen 13 dan kuarters Syabas Tadisma di Seksyen 13. Pada 5 Ogos pula, gangguan bekalan air akan berlaku di kawasan Sepang yang membabitkan keseluruhan kawasan Bandar Baru Salak Tinggi bermula dari pukul 8 malam hingga 5 pagi keesokan harinya.

Gangguan bekalan air turut berlaku pada 10 Ogos ini bermula pukul 5 petang hingga 6 pagi keesokan hari di Kuala Lumpur yang membabitkan keseluruhan kawasan Sri Hartamas, Bukit Sentul, Jalan Pahang di persimpangan Jalan Pahang-Jalan Tun Razak hingga persimpangan Jalan Titiwangsa-Jalan Pahang.

Tempat-tempat lain ialah Jalan Tun Razak di persimpangan Jalan Pahang hingga ke Jalan Langgak Golf, keseluruhan Jalan Semarak dan sekitar KLCC, kata kenyataan itu. Selain itu, kawasan yang turut mengalami gangguan bekalan air di kawasan Kuala Lumpur pada tarikh dan waktu yang sama ialah di Jalan Ampang bermula di persimpangan Jalan Tun Razak-Jalan Ampang hingga ke persimpangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Syabas berkata, kawasan-kawasan lain di Kuala Lumpur yang turut terlibat termasuklah di sebahagian Kampung Baru, Taman Duta, Bukit Tunku, Tasik Perdana, kawasan Parlimen, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato Onn, Jalan Lembah Ledang, Jalan Perlis, Jalan Kedah, Jalan Selangor, Jalan Johor dan Jalan Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, para pengguna dinasihati menyimpan bekalan air secukupnya sebelum berlakunya gangguan bekalan air pada tarikh tersebut. Orang ramai boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol di 1-800-88-5252 atau melayari laman web Syabas di http://www.syabas.com.my – Bernama

Advertisements

Kawalan Keselamatan

Sudah 1-2 bulan berlalu semenjak JBWI edarkan makluman untuk persetujuan melantik syarikat kawalan keselamatan di Warisan Indah. Tapi setakat hari ini hanya sekitar 30 orang sahaja baru mesej saya untuk persetujuan tersebut. Jadi mohon kerjasama semua penduduk untuk reply dan mesej untuk setuju.

Persetujuan ini amat penting sebab JBWI perlu kumpul data dan maklumat semua yang bersetuju untuk kemudahan di kemudian hari. Jika anda setuju melantik syarikat kawalan keselamatan sila mesej seperti berikut:

kawal (nama) (alamat) (h/p) contoh: kawal Michael Jackson, 26, 8/2, 012-3456789 dan hantarkan ke 013-3543594 (pengerusi JBWI)

tolong war-warkan kepada jiran-jiran yang belum daftar…

Surau al-Hijrah Dah Ber”aircond”

Untuk keselesaan jemaah yang datang solat di surau al-Hijrah, Kota Warisan pihak AJK surau telah memasang aircond (hasil sumbangan) kelmarin. Sejak kebelakangan ini ramai pihak yang berhati murah mendermakan pelbagai derma kepada pihak surau. Ada yang derma karpet, ada yang derma kerusi dan juga tidak ketinggalan derma duit. PA system dan speaker surau sekarang pun dah baru, itupun hasil derma orang ramai. Kira sekarang ni, makmum lebih khusyuk dengar bacaan imam sebab speaker dah bagus.

Memandangkan penduduk Kota Warisan sekarang ni dah mencecah 12 ribu orang penduduk, pihak surau akan menambah pembangunan surau untuk keselesaan jemaah. Pihak surau target RM 500 ribu untuk pembangunan fasa akan datang. Satu majlis rasmi pelancaran dana pembangunan akan diadakan pada 16 Ogos 2009 nanti. Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan amat dihargai. Tapi jangan bagi sumbangan duit je pulak, sumbangan “diri” pun kena bagi jugak, maksudnya rajin-rajinlah solat berjemaah kat surau nooo. Kenalilah imam anda setiap masa, bukan hanya time tahlil dan mati saja, heheh…

Perkembangan Pendaftaran RT

Jumaat lepas saya berjumpa dengan En. Musa, Pegawai Perpaduan yang bertanggungjawab mengenai Rukun Tetangga. Saya bertanyakan tentang status permohonan JBWI untuk mendaftarkan RT di Warisan Indah. Beliau menjawab yang urusan itu masih dalam proses dan JBWI perlu mengemukakan layout pelan perumahan Warisan Indah. Ini kerana pendaftaran RT hanya diluluskan jika jumlah penduduk di satu-satu kawasan ada lebih kurang 2000 orang.

Walaupun Warisan Indah adalah taman baru dan jumlah penduduk sekitar 400-500 orang, pendaftaran RT masih boleh dibuat dengan syarat mengemukakan layout pelan perumahan sedia ada dan akan datang. Ia untuk menunjukkan yang jumlah penduduk sekarang dan akan datang berjumlah lebih kurang 2000 orang. Jadi saya telah pun mengemukakan pelan yang diminta Isnin lepas dan kita perlu menunggu lagi sehingga pendaftaran RT dapat diselesaikan.

Menurut En. Musa lagi, sehingga sekarang ada 14 permohonan seluruh Sepang untuk penubuhan RT dan semuanya masih dalam proses dan jika dicampur dengan permohonan kita dah jadi 15. Ia mungkin ambil masa lama lagi sehingga semua urusan selesai. Harap maklum!